20 May 2016

Tak ada apa.

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani

kenapa kamu masuk sini selalu tunjuk muka sedih? ada nada kesal daripada suara. 

muka saya sedih ke? tanya sekadar mahu tahu. tapi, aku lebih tahu. 

walau beribu kali aku nafi, aku tetap rasa berbuku di hati. rasa beban. berat. yang mana walaupun aku sorok dan tunduk, tetap akan terpamer. walaupun sepandai mana aku pandai berahsia, ia tetap tertulis di raut. 

aku lelaki. 
depan mak aku, aku gurau kuat kuat supaya mak aku tak nampak rahsia.
depan yang lain, aku senyap dan jarang kelihatan. untuk nampak sibuk. aku tak suka diambil foto. nanti orang tak puas hati sebab aku bikin aniaya gambar buruk. 

apabila aku berputus asa. aku tanya si a. si b. si c. sehinggalah si p. 

putus asa haram bro. 

bila aku selak selak, keluar ayat tikam tikam. 

sungguh aku tak ada pilihan. aduhai tuhan, ringannya linangan ini. 

aku lelaki.
aku malam.
dan aku tiada pilihan. 

kepada siapa lagi yang aku patut mohon. 

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri. ali Imran : 160

aku tak sepatutnya letak ayat di sini. aku bukannya pandai amal pun. 
aku dah hilang semangat. 

tapi, nampaknya hilang semangat juga bukan dalam pilihan. 

aku dah semakin benci dengan tulisan ini. 
buat mata aku linang laju. 



 

07 May 2016

Cuba kira ' Tapi, itulah. '

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani

Ada yang dipaksa terima berjalan jauh daripada petak mula ke garisan penamat. Tapi, tak semua. Ia hanya berlaku kepada sebahagian insan. 

Aduh. Aku rasa macam format rant bila aku fikir balik. Sebelum aku menulis ini, baik berlapang dada sehingga habis tinta. 

Apa yang aku boleh konklusi kan sepanjang usia ini, aku selalu dapat jalan yang lebih jauh untuk sampai ke tempat yang sama berbanding dengan orang lain. Tengok, aku dah mula menggunakan perbandingan. Sungguhlah. 

Kalau tak dapat jalan yang lebih jauh, sama ada tempat mula aku berada di tempat yang jauh atau tempat akhir aku berada di tempat yang jauh atau kedua dua nya sama. Dan kadang kala aku fikir sangat frustrasi dengan situasi situasi sebelum ini. Aku kena jalan lebih kilometer daripada orang lain! Dan aku mempunyai stamina yang paling rendah. Cepat semput. Tak larat dan penat. 

Dan aku pula bukannya jenis lelaki yang mudah mengalah terhadap situasi situasi begini. Banyak pelan dan perancangan aku buat untuk elak berjalan lebih jauh. Aku tulis senarai apa yang aku perlu buat harian, bulanan dan tahunan di atas buku nota, sticky note dan laptop. Procedure yang lebih details dan kemas supaya aku tak mengalami kebingungan di hari kemudian. Set tarikh akhir untuk setiap kerja. Tulis distraksi yang bakal aku tempuhi dan cara cara mengelaknya. 

Senang cerita aku tulis perkara perkara yang aku tak pernah tulis lima tahun sebelum ini. 

Disebabkan gaya pembacaan aku dah banyak berubah, beralih daripada novel ke bacaan self help yang di mana bacaan 'emak emak'. Aku banyak berubah daripada segi pengurusan hidup aku yang sepertinya sudah nyawa nyawa ikan ini. 

Dan, ironinya disebalik gahnya aku ber'seronok' membentuk pelan dan menulis perancangan untuk mengurus hidup aku yang lebih sistematik, situasi situasi itu pasti datang. Menghentam seperti ombak yang beralun melanggar kapal yang belum sempat berlabuh lagi, dah kena baiki jumpa tukang kapal. Dan aku kena tunggu lagi hari esok untuk berlabuh. Tunggu kapal pulih dan sihat untuk berlabuh. 

Ombak ombak beginilah yang buat hidup aku jadi tak semangat dan malas. Kau tahu bila kau dah ada baju baru, seluar baru dan kasut baru nak datang lecture hall, tetiba hari pertama pensyarah beri kau ujian yang markahnya separuh untuk kau duduk exam akhir tahun. 

Sebab itulah aku berhenti baca buku self help sekarang. Dan walaupun sebelum sebelum ini aku tak baca pun buku self help yang suruh tulis nota pengurusan, hidup aku tetap terumbang ambing juga dan dipaksa berjalan jauh. 

Sedih. Penat kena tinggal. Walaupun aku tak anggap pun hidup ini sebagai perlumbaan tetapi aku hanya mengharapkan kapal aku berlabuh dengan sedikit tenang. Namun, hidup bukan mengajar kita hidup dengan tenang. Hidup mengajar kita gelabah. Hidup mengajar kita jantung berdegup kencang itu normal. Tekanan darah tinggi itu normal. Menangis sambil memaki dalam hati itu normal. 

Disebabkan jalan yang panjang, aku menjadi lelaki yang paling lambat dalam sejarah. Mungkin bukan dalam sejarah kau, tapi dalam sejarah dia ( tunjuk jari kepada orang lain, bukan kau).

Bila kau nampak lelaki yang lambat macam aku, kau kena banyak bersyukur yang kau tak perlu banyak kali selak nota untuk faham apa yang kau belajar. Kau kena banyak berterima kasih yang kau tak perlu studi awal seminggu sebelum exam. Kau kena banyak bersyukur yang apa kau baca pasti masuk exam. Kau juga perlu berterima kasih yang kau ponteng kelas tak perlu tulis surat. Kau perlu bersyukur yang kerja kau sangat lancar dan tak ada masalah masalah yang aneh berlaku sepanjang kau buat kerja. 

Aku tahu aku tengah rant. Tapi, itulah. 

Aku tahu aku lambat. Daripada acara larian 1500 m jadi 4000 m. Daripada acara tiada halangan jadi acara larian berpagar. Jatuh banyak kali pula. Tak ada training pun untuk larian jarak jauh dan berpagar. Sakit.

Daripada situ, setelah bermuhasabah. Pelan yang aku tulis semua adalah perancangan untuk menang acara 1500 m dan tiada halangan. Aku tak ada tulisan untuk acara jarak jauh dan berhalangan. Tapi, aku tak pernah dilatih untuk menulis pelan untuk menang acara jarak jauh dan berhalangan, jadi aku diberi acara acara ini tanpa apa apa persediaan untuk kita jatuh. Jatuh berulang kali. 

Sebenarnya, aku dah tak berapa minat tulis nasihat self help dalam kertas kertas ini, sebab selalunya nasihat nasihat yang aku tulis akan menikam aku kembali keesokkannya ( gelak kecil ) Tapi, itulah. 

Fikirlah apa yang aku mahu sampai dalam tulis tulis ini. 
Lagipun, kertas ini pun rasanya dah tak ramai yang membacanya. Daripada situ aku rasa aku agak terbuka untuk menulis rasa ini. Aku rasa kesal dan terkilan juga sepatutnya kertas ini aku perlu jaga daripada tulisan personal dan rant. Aku nak jadikan kertas kertas ini daripada awalnya tempat aku menulis isi isi kreatif tetapi lain pula jadinya sejak sejak akhir ini. 

Tapi, itulah.